Quran gariskan tujuh ciri mukmin beruntung
MENGIKUT Islam manusia akan memperoleh ganjaran setimpal berdasarkan usaha atau amal yang dilakukannya, baik perkara kecil atau besar mahupun yang tergolong dalam perbuatan atau sesuatu yang baik atau buruk.
Firman Allah bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya).” – (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
Ayat itu mengandungi pengertian bahawa manusia tidak akan terlepas daripada dua jenis perbuatan iaitu baik dan buruk.
Namun demikian, manusia yang teguh imannya tentu berupaya dan berusaha melakukan lebih banyak perbuatan baik dan berusaha menjauhi perbuatan buruk.
Mereka yang lebih banyak mengerjakan amal soleh tentu imannya lebih teguh berbanding mereka yang banyak melakukan kejahatan.
Untuk mencapai tahap mukmin sejati lagi berjaya, bukanlah mudah. Ini kerana yang bergelar mukmin itu, tidak cukup sekadar percaya kepada Allah atau sekadar mengucapkan dengan lisan: “Aku percaya pada Tuhan.” Sebaliknya orang yang benar-benar beriman harus memiliki tiga perkara:
l Iqraru bil-qalbi (dinyatakan dalam hatinya/ditetapkan dalam hati).
l Nuthqu bil-lisan (diucapkan dengan lidah).
l Amalan bil-arkan (diamalkan dalam kehidupan seharian).
Orang mukmin yang taat adalah golongan yang mendapat kemuliaan dan kasih sayang daripada Allah. Mereka adalah kelompok manusia yang dijanjikan akan tinggal buat selama-lamanya dalam syurga bernama Firdaus yang penuh dengan kenikmatan.
Dalam al-Quran, Allah menyebutkan tujuh ciri atau kelompok mukmin berjaya atau beruntung yang mana akhirnya dianugerahkan dengan syurga Firdaus.
Hal ini dinyatakan Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 1-11. Tujuh ciri itu ialah:
l Khusyuk dalam menunaikan solat.
Sesungguhnya solat akan mampu dilaksanakan dengan khusyuk oleh seseorang mukmin, sesuai dengan kemantapan atau keteguhan iman yang dimilikinya.
Pada dasarnya pengertian khusyuk di sini ialah mencakupi bahawa seseorang itu biasa memahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solatnya. Mengetahui makna ayat yang dibaca, di samping mengawal bilangan rakaat. Jadi, tidak sekadar mengerti syarat dan rukunnya saja.
Dalam khusyuk itu juga harus ada unsur takut kepada Allah. Demikian mengikut Imam Al-Ghazali. Sembahyang yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk menjadi mukmin berjaya dan dapat mewarisi syurga Firdaus.
l Memelihara diri daripada perbuatan tidak berfaedah.
Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan membiarkan masa berlalu dengan tidak melakukan perkara berfaedah.
l Menunaikan zakat.
Sesungguhnya menunaikan zakat adalah kewajipan bagi setiap Muslim. Seorang Muslim sejati akan rela dengan ikhlas menunaikan kewajipan zakatnya tanpa wujudnya paksaan, lantaran sedar bahawa hartanya sudah memenuhi syarat untuk zakat. Wajib baginya untuk membayar zakat harta itu.
Selain itu, dia sedar bahawa pada harta miliknya itu ada hak orang lain yang harus diberikan, terutama hak fakir miskin. Hartanya yang sebenar hanyalah harta yang tinggal selepas dikeluarkan zakatnya.
l Memelihara kehormatan/kemaluannya.
Orang mukmin yang berjaya akan menghindarkan diri daripada melakukan penyimpangan dalam hal seksual dan tidak mendekati zina.
Dia tidak akan berlaku serong dan hanya menyalurkan keinginan syahwat (persetubuhan) melalui jalan yang halal dengan pasangan sah.
l Melaksanakan amanah.
Seseorang mukmin yang diberi kepercayaan akan menunaikannya dengan baik. Ini kerana kepercayaan itu adalah penghormatan paling berharga baginya.
l Memenuhi janji.
Islam mengajar bahawa setiap janji mesti ditunaikan. Ini kerana janji itu ibarat hutang, lantaran ia perlu dibayar. Segala sesuatu yang dijanjikan perlu dipenuhi kerana yang demikian adalah ciri mukmin berjaya.
l Memelihara solat.
Solat dalam pandangan mukmin sejati paling penting. Jadi, solat yang dilakukan mereka sentiasa cukup terpelihara, sehingga dapat dilaksanakan dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik. Solat pada awal waktu dan sentiasa berwaspada agar dapat solat tidak di luar waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan